Showing posts with label isu sungai rajang penuh dengan sisa kayu balak. Show all posts
Showing posts with label isu sungai rajang penuh dengan sisa kayu balak. Show all posts

Tuesday, October 19, 2010

Fenomena Kayu Balak Penuhi Sungai Rajang Boleh Berulang


LOKASI KEJADIAN: Tinjauan dari udara lokasi tanah runtuh di Ulu Sg Melatai yang mengakibatkan ‘tsunami kayu balak’ 7 Oktober lalu. Kawasan terhakis akibat pembalakan di Ulu Sungai Melatai tunggu masa ‘runtuh’ jika hujan lebat turun


Petikan diambil daripada laman web The Borneo Post.Com dan dikarang Pauline Kayan. Posted on October 15, 2010, Friday

KAPIT: Fenomena himpunan kayu-kayu hanyut di Batang Rajang pada 7 Oktober lalu atau disifatkan oleh Menteri Kemajuan Tanah, Dato Sri Dr James Jemut Masing sebagai ‘tsunami kayu balak’, tidak mustahil akan berulang lagi jika hujan terus turun dengan lebat dalam masa terdekat ini.

Masing yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh berkata demikian memandangkan situasi di kawasan kejadian tanah runtuh di Sungai Melatai, Ulu Baleh, kira-kira 100 kilo- meter dari sini masih belum ‘selamat’ dan boleh menyumbang kepada fenomena yang sama, berulang lagi.

Masing berkata hasil tinjauan beliau sendiri ke lokasi kejadian mendapati pokok-pokok tersebut hanya me-nunggu masa untuk rebah sahaja kerana pada masa ini ia terpaksa menampung hakisan tanah yang susur berikutan aktiviti pembalakan di kawa-san tinggi dan atas bukit se-panjang tebing sungai.

“Kejadian ini berlaku di bahagian Ulu Sungai Melatai yang berdekatan dengan sempadan Sarawak dengan ne-gara jiran, Indonesia. Lokasi kejadian itu lebih kurang lima kilometer persegi,” katanya kepada pemberita semasa sidang media di kediamannya di sini, pagi semalam.

“Masih terdapat pokok-pokok di kawasan yang mengalami hakisan di sekitar lokasi kejadian. Jika hujan lebat terus turun maka tidak mustahil pokok-pokok di sepanjang tebing sungai akan tumbang dan mengakibatkan kejadian tanah runtuh serta ‘tsunami kayu balak’ akan berlaku se-kali lagi,” tambah beliau.


Masing berkata aktiviti pembalakan masih giat dijalankan di sekitar kawasan itu, walaupun undang-undang perhutanan tidak membenarkan sebarang aktiviti pembalakan dijalankan di dalam kawasan 100 meter jaraknya dari sungai atau dikenali sebagai zon penampan.

Jelasnya, ketika mengadakan lawatan ke sekitar lokasi kejadian semalam, beberapa kenderaan yang digunakan oleh pekerja balak terkandas dan tidak dapat meneruskan perjalanan kerana jalan yang sedia ada sudah terputus akibat kejadian tanah runtuh yang melanda kawasan itu.

“Sungai Melatai bukan sahaja menjadi keruh dan berlumpur, malah habitat di dalamnya seperti ikan empurau dan semah yang mendapat sambutan hangat juga turut pupus. Kita perlu me-nunggu lebih kurang enam bulan untuk ikan-ikan ini membesar,” tambahnya lagi.


Sehubungan itu beliau menggesa Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) serta badan-badan yang bertanggungjawab supaya melakukan kajian dan siasatan lebih terperinci berhubung kejadian berkenaan.

“Kegiatan pembalakan bukan hanya di Melatai sahaja, malah ada di 10 buah sungai yang lain. Sekiranya tiada penguatkuasaan undang-undang, kejadian yang serupa juga akan berlaku di sungai-sungai yang lain.”

“Sekarang bukan masanya untuk kita memikirkan apa masalah yang menimpa, sebaliknya kita harus mencari langkah terbaik untuk menangani masalah ini daripada berlaku sekali lagi. Kejadian ini pernah berlaku di Sungai Tunoh dan Sungai Mujong dalam tempoh dua tahun ini.

“Semua kejadian ini berpunca daripada tindakan manusia yang tidak bertanggungjawab ,” katanya lagi.


Dalam pada itu, Masing memberitahu hasil perjumpaan dengan tuai-tuai rumah di sekitar Baleh semalam, mereka mencadangkan supaya diadakan upacara pengampunan ‘muja menua’.

Tuai-tuai rumah berpendapat bahawa kejadian itu berlaku kerana Tuhan marah dengan tindakan manusia yang tidak menghormati alam sekitar.

“Kita akan membincangkan perkara ini dengan Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS) dan mencari jalan terbaik untuk mengadakan upacara pengampunan atau ‘Muja Menua’,”katanya.


Tambahnya lagi, Residen Kapit dan Pejabat Daerah sedang dalam proses mengumpul data berhubung kerosakan yang dialami akibat daripada kejadian itu, terutamanya jambatan dan jeti-jeti di rumah panjang di Sungai Baleh.

Sunday, October 10, 2010

Isu Sungai Rajang Dipenuhi Sisa Kayu Balak


Semua artikel yang terdapat di blog ini diambil dari akhbar akhbar tempatan seperti Bernama, Berita Harian, The Borneo Post, dan juga info daripada para blogger yang lain. Disini, semua isu telah dikumpul untuk memudahkan pencarian anda semua. Terima Kasih.

--------------------------------------------------------

KAPIT: Ratusan penduduk di bandar Kapit membanjiri tebingan sungai kerana tertarik dengan kejadian yang disifatkan penduduk tempatan sebagai sesuatu yang luar biasa dan aneh petang semalam.

Fenomena yang dimaksudkan ialah himpunan kayu yang dihanyutkan arus sungai berpuluh-puluh kilometer panjangnya menyusuri Sungai Rajang.

Kejadian aneh itu mula kelihatan sekitar jam 2 petang dan sehingga berita ini ditulis (hampir jam 4 petang semalam) keadaan kayu-kayu dihanyutkan arus semakin bertambah.

Seorang penduduk yang ditemui memberitahu bahawa kejadian berlaku di kawasan hulu Sungai Baleh dan Sungai Mujong.



“Besar kemungkinan feno-mena tersebut berlaku disebabkan beberapa faktor seperti hujan yang turun lebat tanpa henti di Hulu Baleh serta kemusnahan ekologi alam disebabkan aktiviti pembalakan yang berleluasa,” jelasnya yang enggan identitinya dikenali.

“Ini merupakan pertama kali penduduk di sini melihat kejadian kayu dihanyutkan air sungai dalam jumlah yang begitu banyak serta amat luar biasa.

“Kini saya sudah berusia 65 tahun, dan ini pertama kali melihat benda seperti ini berlaku dalam hidup saya,” tambahnya, sambil memberitahu bahawa ini mungkin hukum Tuhan terhadap kerakusan manusia.


Sementara itu, seorang pengusaha bot ekspres yang beroperasi berulang-alik dari Kapit ke Putai, Hulu Baleh, turut memaklumkan bahawa semua bot ekspres yang bertolak dari Kapit ke Nanga Gaat dan Putai tengah hari semalam terpaksa berpatah balik ke Kapit ekoran laluan sungai langsung tidak dapat dilalui.

Selain itu, sepasukan lima anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat yang sepatutnya berlepas ke Putai bagi melakukan satu gerakan mencari dan menyelamat mangsa yang dilaporkan hilang di sana (sebab belum ditentukan) juga terpaksa berpatah balik ke Kapit kerana laluan sungai yang berbahaya dan tidak dapat dilalui botnya.

Beberapa bot ekspres yang bertolak dari Sibu ke Kapit terpaksa memperlahankan kelajuan serta melalui arus berdekatan dengan tebingan sungai untuk mengelak terlanggar kayu.



“Susah betul mahu melalui Sungai Rajang ini, kita nampak begitu banyak sekali kayu dihanyutkan arus sungai,” jelansya.

Bekas Wali Kota Majlis Dearah Kapit Joseph Datuk Jinggut yang ditemui memberitahu beliau tidak pernah melihat fenomena alam se-begini rupa berlaku.

Katanya, ini ada sesuatu petanda yang bakal berlaku dan semuanya tidak tahu.

“Tadi kita menggunakan bot ekspres dari Sibu dan tiba di sini hamper-hampir ter-perangkap di kawasan Dermaga Beltih petang tadi (semalam),” jelas Joseph menggelengkan kepala.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi yang tiba dengan bot ekspres dari Sibu sekitar jam 4 petang tadi hampir terperangkap bersama bot ekspres yang ditumpangnya.

Sehingga jam 5 petang, tebingan sungai masih dipenuhi penduduk tempatan yang keluar beramai-ramai menyaksikan fenomena aneh yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Kayu-kayu yang dihanyut-kan oleh arus sungai pula semakin banyak.

Malah jelas kelihatan dua bot ekspres yang turun dari Hulu Baleh terperangkap dicelah-celah himpunan kayu hanyut dan amat susah untuk berlabuh.

---------------------------------------------------------
KAPIT, 8 Okt -- Akses bandar Kapit terputus Khamis apabila Sungai Rajang yang menjadi laluan penting bandar itu tidak dapat dilalui akibat dipenuhi dengan balak yang dibuang, kayu-kayu hanyut dan sisa-sisa pohon.

Pegawai penerangan daerah Garai Entili berkata bot-bot ekspres dari Sibu dan dari hulu sungai seperti di Balleh, tidak dapat sampai di sini, dan terpaksa berlabuh di kawasan selamat yang paling hampir dengan bandar.

"Keadaan ini tidak pernah berlaku sebelum ini, dan ia menimbulkan sedikit kekecohan kepada bandar yang biasanya sunyi ini. Orang ramai gelisah dengan fenomena ini dan hanya dapat memerhati keadaan sungai itu," katanya ketika dihubungi.






Garai berkata ada juga balak yang terperangkap di kawasan dermaga, mengakibatkan bot-bot tidak dapat berlabuh di kawasan itu.

Seorang pekerja firma swasta di sini, Lau Nguk Hee berkata beliau diberitahu oleh rakan-rakannya yang bekerja di kem pembalakan di bahagian hulu bahawa keadaan amat luar biasa.

Katanya beliau dimaklumkan bahawa Balleh, anak sungai utama kepada Sungai Rajang, mengalami banjir di banyak kawasan tebingnya, mengakibatkan ia mengumpulkan banyak sisa pohon semasa mengalir ke sungai utama.

"Saya harap kerajaan akan menyegerakan pembinaan jalan Kanowit/Kapit untuk memberikan kami laluan alternatif supaya kami dapat memandu sendiri ke Sibu, atau ke mana-mana sahaja bandar di luar Kapit," katanya.

---------------------------------------------------------

Kerajaan Sarawak akan mengadakan siasatan menyeluruh berhubung keadaan yang membimbangkan apabila sisa kayu terapung memenuhi laluan di Sungai Rajang, mengakibatkannya tidak dapat digunakan oleh semua bot.

"Kami perlu mengenal pasti puncanya, tetapi jika ada bukti yang menunjukkan bahawa ia diakibatkan oleh faktor manusia, tindakan tegas akan diambil terhadap pelakunya," kata Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh.




Sungai Rajang, sungai terpanjang di negara ini iaitu 563 kilometer dari puncanya, tidak boleh dilalui oleh semua bot, sama ada besar atau kecil, sejak tengah hari ini.

Sungai itu bagaikan tali sawat penyampai di kilang papan tetapi bukannya mengangkut papan yang telah pun digergaji, sebaliknya terus menerus membawa pokok yang tercabut, balak yang dibuang dan segala bentuk sisa pepohon dari Kapit, kira-kira 176km dari Sibu.

Kapit mengalami keadaan mencemaskan itu kira-kira 2 petang semalam.



Wong yang melihat keadaan itu dari Terminal Bot Ekspres Kapit, manggambarkannya sebagai "bencana alam semula jadi secara besar-besaran."

"Saya dimaklumkan di Kapit semalam bahawa sisa-sisa itu terapung sejauh kira-kira 50km.

"Keadaan ini masih berterusan di Kapit hari ini sungguhpun berlaku dalam bahagian dan ukuran yang lebih kecil," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Wong berkata beliau dimaklumkan bahawa terdapat tanah runtuh besar-besaran di Putai dan Nungun, iaitu kawasan konsesi pembalakan di Balleh di pedalaman Bahagian Kapit ekoran hujan lebat sejak beberapa hari lepas.

Bagaimanapun, katanya, beliau masih menunggu laporan terperinci daripada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar negeri.

Wong berkata keadaan itu belum pernah dilihat atau dialami sebelum ini dan ia agak menakutkan.

"Apabila keadaan semakin pulih dan terdapat laluan yang boleh digunakan di sepanjang sungai, pasukan dari Jabatan Kerja Raya dan Lembaga Sungai-sungai Sarawak akan memeriksa jambatan Durin serta Lanang untuk mengeluarkan apa jua sisa yang mungkin terperangkap pada asas jambatan di sungai itu.

Sementara itu, bas ekspres dan kenderaan air lain yang mempunyai jadual perjalanan di sebelah tengah hari ke Kapit, terpaksa menangguhkan perjalanan mereka.

Mereka yang berlepas pagi ini pula, terpaksa singgah di tempat yang selamat sepanjang laluan itu."

------------------------------------------------------


KUCHING: Selepas dikejutkan dengan fenomena luar biasa sisa balak dan kayu terapung di Sungai Rajang, sejak Khamis lalu, penduduk yang tinggal di tebing sungai terpanjang di Malaysia itu sekali lagi dikejutkan dengan kejadian luar biasa, kelmarin.

Kali ini, bukan sisa kayu terapung yang membuatkan perhatian terarah ke sungai yang mengalir deras itu, tetapi ribuan ikan air tawar termasuk patin, labang, jelawat dan kaloi yang timbul di permukaan dipercayai mabuk akibat lumpur tebal yang memenuhi sungai berkenaan.

Keadaan itu menyebabkan penduduk di tebing Sungai Rajang bagaikan berpesta, menangkap ikan mabuk itu yang ada antaranya mencecah berat sehingga 20 kilo gram seekor.

Seorang penduduk di pekan Kanowit, Boniface Endawi Kana, 45, berkata fenomena luar biasa ikan timbul itu disedari penduduk yang menyusuri sungai itu selepas ribuan tan sisa kayu terapung melalui pekan berkenaan.




“Apabila menyedari ratusan ikan timbul, penduduk bergegas mendapatkan perahu dan mengutip ikan yang belum mati itu sehingga akhirnya keadaan di Sungai Rajang yang sebelum itu sunyi tanpa sebarang aktiviti selepas dilanda fenomena sisa kayu hanyut, bertukar menjadi pesta menangkap ikan mabuk.

“Ramai juga yang mengambil kesempatan menangkap ikan untuk mencari pendapatan tambahan dengan menjualnya kepada orang ramai di pekan Kanowit dan difahamkan ada seorang penduduk memperoleh RM380 selepas dia berjaya menjual seekor ikan patin seberat 18 kilogram," katanya ketika dihubungi Berita Minggu, semalam.

Boniface berkata, kejadian ikan bersaiz besar timbul itu tidak pernah berlaku sebelum ini dan penduduk percaya ia ada kaitan dengan kejadian tanah runtuh di kawasan pembalakan di Sungai Baleh iaitu salah satu cabang Sungai Rajang.


Kejadian itu menyebabkan lebih 20,000 penduduk yang tinggal di sepanjang Sungai Rajang dan kawasan yang bergantung kepada pengangkutan sungai itu, termasuk di lebih 200 rumah panjang, terjejas berikutan laluan Sungai Rajang tersekat dengan dipenuhi balak yang dibuang, kayu hanyut dan sisa pohon.
Rino%20%40%20Reynold%20%5B7DSM%5DQuantcast